Wednesday, 2 April 2014

Percutian di PNB Ilham Resort, Port Dickson Negeri Sembilan



Mencari Kedamaian

Pemandangan PNB Ilham Resort-gambar sewaktu penulis berhoneymoon di hotel ini...hehehehe

Pemandangan dari atas aparment

Pemandangan malam - sumber dari www.fuh.my

Terdapat juga pool side bar di kolam renang

Kanak-kanak serta orang dewasa bersuka ria di kolam renang


En.Raja Azukri , Pengurus Resort
 Ungkapan “The best of both worlds” boleh dijadikan jolokan untuk PNB Ilham Resort yang terletak di sempadan Tanjung Tuan, dimana ia menghadap keindahan Selat Melaka yang cuma terletak 18 km dari Port Dickson. Antara ciri menarik bangunan PNB Ilham Resort dapat dilihat dengan ukiran senibina bangunan tersebut dimana ia  mengenengahkan ukiran tradisional Melaka antaranya binaan Tangga Batu dan juga keindahan pantai Port Dickson. PNB Ilham Resort bukan sahaja resort bagi tetamu semata, tetapi ia juga boleh dijadikan sebagai tempat latihan teambuilding


Seni bina yang penuh dengan konsep Kesultanan Melaka dan juga kemudahan zaman moden, sepastinya memori akan terlekat di ingatan. Tahukah anda, PNB Ilham resort sudah dibina sejak 20 tahun lalu, di mana ia dahulu merupakan tempat latihan team building khas untuk kakitangan PNB sahaja. Tetapi atas permintaan ramai dari pelancong dan warga tempatan yang melalui kawasan ini, PNB Ilham resort akhirnya dibuka kepada umum.          
 ………………………………………………………………………………………………………
MAKANAN TRADISIONAL YANG DIIDAMKAN

Baru-baru ini, saya bersama sahabat media telah dijemput untuk menghadiri acara “Sahabat Media 2014” bertempat di resort ini. Kemesraan yang tercipta antara kakitangan PNB Ilham resort bersama kami dapat dilihat dari senyuman yang dilemparkan ketika kami disambut untuk mendaftar masuk. Kesegaran jus oren sesungguhnya dapat menghilangkan dahaga saya setelah sejam setengah perjalanan dari Matic, Kuala Lumpur. Menikmati sedikit jamuan ringan sambil menikmati ruangan sekeliling membuatkan saya terpesona dengan hiasan deko dibahagian penyambut tetamu dengan permainan warna yang ceria di sofa dan juga penggunaan elemen kayu untuk lampu, kerusi dan meja. Terdapat juga kaca berwarna-warni yang dihias di tingkap yang selalunya kita dapat lihat di rumah-rumah kampung. Menggunakan konsep ‘open space’, dari posisi kaunter penyambut tetamu, saya dapat melihat akan kawasan bersantap makanan yang diberi nama Serambi Coffee House, dikendalikan oleh Chef Zam Zam yang pernah menjadi juri bagi rancangan MasterChef Malaysia pada musim pertama. 
Chef Zam sedang berkongsi resepi 'Rendang Burung Puyuh'
Makanan tengahari disajikan di dalam dewan yang baru sahaja dibina, yang diberi nama Dewan Konvensyen PNB Ilham 1 yang sebesar 46 kaki x 64 kaki. Ia merupakan waktu yang saya tunggu-tunggu kerana khabarnya, PNB Ilham resort sangat terkenal dengan menghidangkan makanan tradisional seperti kari kambing gearbox, udang masak rendang, daging dendeng, ayam masak asam boi, dan juga berbagai jenis ulam-ulaman yang antaranya tidak pernah kita jumpa di ibu kota seperti daun burung tenggek dan daun mamat. Hidangan ini pasti membuka selera sesiapa sahaja yang tengah kelaparan. Yang pastinya saya tidak berfikir panjang untuk menikmati juadah yang disediakan.
diantara Menu makan malam Sahabat Media
Sambil menikmati juadah, saya bersama sahabat media disambut dengan ucapan alu-aluan oleh Pembantu Pengurus Residen, PNB Ilham Resort, Encik Raja Azukri Raja Adam, dimana beliau berasa gembira dengan kehadiran kami disini dan mengharapkan ukhuwah dapat dijalinkan. Terdapat juga sidang akhbar selepas itu, di mana Encik Azlie Halim, Editor Majalah Santai, bertanyakan beberapa soalan kepada Encik Raja Azukri Raja Adam tentang bagaimana untuk memastikan PNB Ilham resort tetap unggul di mata tetamu. Encik Raja Azukri Raja Adam menjawab dengan memastikan servis merupakan benda yang utama untuk dititikberatkan.
Selesainya sidang akhbar dan juga juadah tengahari, saya mengambil peluang ini untuk mendaftar masuk ke bilik bagi membersihkan diri untuk solat zohor. Saya bersama teman diberikan rumah berupa seperti apartmen dimana di dalamnya mempunyai tiga bilik berasingan dengan tandas sendiri. Jadi tidak lah perlu berebut ! Tambahan pula rumah kami betul-betul berhadapan dengan kolam renang. Terdapat beberapa pilihan rumah apartment di PNB Ilham resort, antaranya yang dua bilik, tiga bilik dan juga empat bilik di dalam satu rumah. Lengkap dengan fasiliti yang mencukupi, pastinya membuat anda rasa bagai di rumah.
Pelbagai jenis buah,dessert, ulam-ulaman, dan kuih-muih

……………………………………………………………………………………………………..
AKTIVITI MENCABAR FIZIKAL

 Pada petangnya pula, terdapat aktiviti yang sememangnya dilakukan di PNB Ilham resort seperti Sea Rafting. Dimana, dua kumpulan tediri daripada enam peserta diuji untuk membina sebuah rakit dalam masa 30 minit, dengan hanya menggunakan empat pelampung getah, lapan batang PVC dan juga tali. Dari sini, saya dapat merasai pengalaman membina rakit dan ianya memang agak mencabar untuk memastikan rakit itu kukuh untuk digunakan di laut kemudiannya. Setelah siap, kami diberi arahan untuk menggunakan rakit yang dibina untuk mengambil bendera yang diletakkan di tengah-tengah laut. Bukan hanya sekali, tetapi dua kali ! Saya sudah dapat bayangkan kegembiran dan juga kepenatan dari kayuhan rakit tersebut. Tetapi, demi untuk mencapai kemenangan, saya gagahkan diri untuk berakit bagi pusingan pertama. Pusingan kedua diganti oleh peserta lain dan akhirnya kemenangan milik kami.

Setelah petang berlabuh, matahari pun mula terbenam, pemandangan di tepi pantai sangatlah indah dan pastinya bukan mudah untuk melihat keindahan ciptaan Tuhan yang maha kuasa. Di sebelah malamnya pula, kami dihidangkan dengan hidangan ringan di Gazebo milik PNB Ilham resort dimana gazebo ini merupakan antara lima fasiliti yang disediakan. Sambil makan sambil menyanyi, tapi bukan kami, sudah tentulah dari artis muda Iqwal Hafiz ! 
Pada pagi esoknya, makanan yang dihidangkan oleh Chef Zam Zam amatlah mengiurkan seperti lempeng, mee kari, nasi lemak dan tidak lupa bagi mereka yang memilih untuk menikmati English breakfast. Setelah selesai makan, pagi-pagi ini sangat bagus untuk menghirup udara segar tambahan udara dikawasan sini lebih baik dari di ibu kota. Dikejutkan dengan suara Encik Lo, instruktur kami untuk jungle tracking pagi itu, merupakan acara yang ditunggu-tunggu. Taman Rekreasi Tanjung Tuan terletak betul-betul dihadapan pintu masuk PNB Ilham Resort. Dengan keluasan sebesar 75.92 hektar pastinya akan membuat jantung anda berdegup pantas dek liku-liku perjalanan di dalamnya. 


Tanjung Tuan merupakan kawasan strategik bagi mereka yang gemar akan aktiviti bird watching terutamanya pada musim penghijrahan burung-burung tersebut dari hemisfera utara dan selatan. Nasib saya baik kerana dapat melihat seekor burung helang terbang nun tinggi di atas. Setelah berjalan sejauh 450 meter ke dalam, kami di bawa oleh Encik Lo untuk melihat peninggalan tapak kaki Hang Tuah yang terletak di atas sebuah batu, bersama perigi lama peninggalan tentera british, dan juga sebuah rumah api yang terletak di atas bukit. Setelah penat lelah berjalan di dalam hutan, kami disajikan minuman ringan sebelum memulakan aktiviti seterusnya iaitu abselling, dimana kami akan turun dari bangunan setinggi tujuh tingkat dengan memakai kelengkapan keselamatan yang disediakan. Percayalah, aktiviti ini pasti akan menggugat jiwa anda tetapi berbaloi untuk dicuba.

Sebelum pulang, satu persembahan istimewa iaitu sesi memasak dari Chef Zam Zam untuk tatapan kami semua sambil menikmati makanan tenghari. Menu yang dimasak oleh chef merupakan hidangan Burung Puyuh masak rendang. Lincah sekali tangan chef memasak, almaklumlah sudah lebih 25 tahun berkecimpung dalam bidang masakan. Yang pasti rasanya enak sekali.
Kenangan di PNB Ilham Resort pasti akan kekal di dalam ingatan saya. Pelayanan mereka sepanjang dua hari satu malam, amatlah saya hargai. Dan pastinya inilah tempat yang akan saya datang lagi. Bagi pengunjung-pengunjung luar sana yang masih tiada tempat untuk pergi bercuti, apa kata anda pilih untuk ke PNB Ilham Resort bagi meluangkan masa bersama keluarga tersayang.
………………………………………………………………………..
PNB Ilham Resort
Batu 10, Tanjung Biru,
71050, Port Dickson,
Negeri Sembilan Darul Khusus, Malaysia

Tel : (606) 662 6800
Fax : (606) 662 5646
Email : sales@ilhamresort.com / reservation@ilhamresort.com


Terima Kasih:
Warga Kerja PNB Ilham Resort
Majalah Santai Travel
M-Mode Media
Sahabat Media
Teks:Rabiatul (Santai)
Gambar: Santai, fuh.my dan penulis

No comments: